Thursday, 29 March 2012

SEAFOOD LASAGNA


Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera Semua   :)

Apa khabar kengkawan semua?? Saya cam biasa jer.. Cuma hati ni agak risau dan sayu gak sebab arini Abahku akan menjalani pembedahan di PPUM. Tu yang mood pon cam tak berapa nak in. Harap harap semuanya berjalan dengan lancar dan kesihatan Abah akan bertambah baik. Doakan Abah saya yer kengkawan.. Mohon maaf juga bagi kengkawan yang menunggu agak lama untuk resepi ni. Bukan apa, agak sibuk sikit nak masukkan N3 ni dan kepala pon agak kusut memikirkan kesihatan Abah. Tapi demi kengkawan saya usahakan juga.. tak sampai dihati bila terkenangkan kalau ada yang dah terasa kat tekak dan teringin untuk mencuba.




Ekceli, yang sebenor benornya nilah festaim saya membuat Lasagna ni dan rasanya pada masa akan datang saya perlu perbaiki lagi. Ada cacat cela yang saya tak berapa puas hati lagi. Salah satunya dari segi ketebalannya. Silap pi guna bekas besar sangat, dahlaa tak berapa nak tebal jadinya. Pastu deq anak saya yang tak sabar nak makan, pepanas dia nak potong makan gak.. Habislaa semua ghuntuh hape layer pon tak nampak kat dalam tu.. huhuu.. nak wat cane, sabo jerlaa.. Tapi rasanya memang sedap sangat. Terima kaseh teman fesbuk ku Kamilia Ibrahim Kak Uteh dan Zack Nurzakiah Zainal Alam atas resepi dan bimbingan. Cuma tulah, saya buat ikutlah apa yang saya ada dalam umah jer dulu dan dengan cara yang bersesuaian dengan saya.




Kalau nak diikutkan, memula saya plan nak buat beef lasagna jer. Sekali bila semua bahan dah nak dimasak nengok minced meat tak ada laa pulak. Terpandanglaa pulak pada udang dan sotong yang ada tu. Hmm.. tu yang terus tukar tajuk ker SEAFOOD LASAGNA tu. Okaylah jugak kan.. dah tak sabar sangat nak mencuba, bedal jerlah.. hehee.. Jomlah nengok cane nak buadnya yer.. Memula kita kena prepare Sos Merah dan Sos Putihnya.


~SOS MERAH~

Bahan Bahan :
300 gm Seafood (Udang dan Sotong)
100 gm Tomato Paste (blh adjust ikut selera memasing)
200 gm Chopped Mushroom/Carrot/Celery (Jika suka)
1 biji Bawang Besar Holland
3 ulas Bawang Putih
Sedikit Oregano
Sedikit Serbuk Lada Sulah
Sedikit Olive Oil utk menumis
Sedikit Chopped Fresh Parsley
Sedikit Chilli Flakes (jika suka)
Garam dan Gula secukup rasa

Tumiskan bawang besar dan putih yg dah dicincang sampai layu. Masukkan pula mushroom dan oregano, goreng hingga naik bau.

Kemudian masukkan tomato paste dan goreng sekejap. 
Bubuh sedikit air. Masak hingga mendidih dan biarkan pekat sedikit.

Akhir sekali baru masukkan bahan Seafood (Udang n Sotong). Jangan masak lama sangat seafood tu.

Setelah masak, perisakan dengan garam dan gula secukup rasa dan masukkan chilli flakes, serbuk lada sulah dan chopped parsley.


~SOS PUTIH~

Bahan bahan :
2 cawan Full Cream Fresh Milk
2 keping Black Pepper Cheddar Cheese 
2 sudu besar Butter
2 sudu besar Tepung Gandum
Sedikit Serbuk Lada Sulah
Sedikit Garam

Panaskan butter hingga cair dengan api kecil.

Masukkan tepung, gaul sebati, aggaran dalam seminit.

Alihkan periuk dari api sebentar dan tuangkan susu. Kacau rata jgn sampai tepung berketul. Kemudian jerang balik atas dapur. 

Bubuh sedikit garam dan serbuk lada sulah. Terus memasak dan kacau kacau sehingga ianya pekat.

Akhir sekali barulah kita masukkan cheddar cheese. Apabila cheedar cheese tu sudah cair dan sebati dengan susu, bolehlah diangkat dan ketepikan.



~MELAPIS LASAGNA~

Bahan yg diperlukan :
Beberapa keping Instant Lasagna Sheets (Oven Ready)
Parutan Mozarella Cheese

Rendamkan dulu kulit lasagna dlm air panas selama lebih kurang 10 minit.  

Lenserkan bekas utk membakar lasagna dengan butter.

Memula kita ratakan dulu sos merah. Lapiskan pula dengan kulit lasagna. 

Tuang lapisan sos merah diikuti dengan sos putih. Taburkan sedikit parutan mozarella cheese. Ulang sehingga habis. Bahagian atas sekali akhirkan dgn sos puteh serta taburkan parutan mozarella cheese dan chopped parsley.

Suhu yg dicadangkan ialah 175c. (ikut kapasiti oven memasing). Guna api atas bawah.
30 min yg pertama ; bakar dengan menutup atas loyang tu ngan aluminium foil. Cucuk dengan lidi samada lasagna tu dah lembut ker tak. Kalau masih keras tutup balik dgn aluminium foil dan sambung lagi bakar dgn kaedah ini.

30 min kedua ; bakar tanpa aluminium foil.
Dalam masa 30 min terakhir tu, kena selalu check lasagna tu dah masak ke belum yer.
Bila dah masak, bolehlah dikeluarkan dari oven dan sejukkan selama 15 minit sebelum dipotong dan dihidangkan.

NOTE : JANGAN bubuh GARAM banyak sangat dalam Sos Sos tu nanti. Kena agak agak juga sebab Mozarella Cheese yg kita tabur tu pon dah MASIN. 




Apa apa pon Selamat mencuba yer. Memang berbaloi baloi.. Lepas ni leh stemet duit saya.. Senang jer membuat Lasagna ni qesahnya.. :)


Saturday, 24 March 2012

Moist CHOC CHEESE Cake


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera    :)


Selamat berhujung minggu juga.. Kemana ujung minggu ni? Saya tak kemana mana lah.. Anak sekolah lak arini, ronda dekat dekat jerlah. Actually kann, tekak saya ni dah beberapa hari kebelakangan ni punyalaa teringin nak makan kek yang something ada rasa rasa ceklat dan ada rasa rasa cheesy sikit. Nak buat yang sesusah tu tak beghapa nak ghajin laa pulak. Maka ku reka reka jerlaa resepi ni, cam biasa my style yang Sempoi jerlaa.. Untuk makan tiga banak kat umah ni jer ponn.. hantam saja lah kann.. Hantam punya hantam jadilaa jugak MOIST CHOC CHEESE CAKE ni.




Cake ni saya masak dengan kekdah Steambath atau Bain Marie. Tu yang moist betul gamaknya. Saya memang pilih cara ni lagi dari kukus dalam kukusan bagi kek berunsur cokelat ni sebab dengan cara ni selain cake akan jadi moist, ia juga akan menjadi wangi dan sedap kerana bahan utama cokelat tu dapat dibakar juga dalam oven. Kalau tak percaya, cubalah.. :)

Hmmm.. Memula suspen gak, jadi ker tak laa cake aku ni? Tapi wat slumber jer gak.. Teruskan juga, siap bagi ganache lagi tuu.. dengan penuh kondifennyerr.. hehehh.. Petang tadi, potonglaa.. mak aiiii.. Sedapnyerrrr.. Walapong masuk lift tekan sendiri yer.. Dengan cukup moistnya, rasa cekelat, cheesy tastenya dan juga rasa susu susu kit ujung ujung tu.. Tak manis sangat pulak.. Wallahh.. Tiada kata dapat kugambarkan.. HOHOHO!!!  ;P




Okayylah.. Atas permintaan kengkawan, saya share resepi ni bersama. Semoga sama sama kita dapat COOKING WITH LUV untuk keluarga yang kita sayangi. Moh kita ke dapoq n checkidauddd.. Sempoi jer cara saya ni..

BAHAN BAHAN :

3 biji Telor Grade A
200 gm Cream Cheese
1/2 cawan Butter
1/2 cawan Olive Oil
1 cawan Brown Sugar
1 cawan Susu Sejat
1 sudu teh Vanilla Extract/Essence
150 gm Tepong Gandum *
50 gm Cocoa Powder *
2 sudu besar Tepung Jagung *
1 sudu teh Baking Powder *
1 sudu teh Soda Bicarbonate *




CARA CARA :

Ayak semua bahan bertanda (*) dan ketepikan.
Dalam mixing bowl, creamkan Cream Cheese. Saya pukul sekali dengan sebiji telur dulu, lebih mudah. Kalau tak, payah sebab cheese tu likat. Maklumlah saya guna mixer antik jer.

Bila cheese tu dah lembut berkrim, masukkan butter yang telah lembut pada suhu bilik dan pukul hingga sebati. Kemudian masukkan brown sugar dan pukul lagi hingga gula tu hancur. Masukkan pula telur yang selebihnya tadi satu persatu dan pukul sebentar hingga kembang.

Selepas tu masukkan susu sejat, olive oil, dan vanilla extract dan pukul sebentar hingga mesra. Akhir sekali masukkan tepung dan bahan yang diayak tadi sedikit demi sedikit. Kacau dengan menggunakan hand whisk jer hingga semuanya mesra. Sementara ni, panaskan oven sesiap selama lebih kurang 10 minit pada suhu 170C.




Tuangkan batter atau adunan ke dalam bekas atau loyang yang telah dilenserkan dengan butter atau minyak. Seterusnya bakar dengan kaedah Steambath atau juga dipanggil Bain Marie. Masak dalam bekas atau loyang yang diisi AIR PANAS MENDIDIH. Pastu Bakar dalam Oven selama satu jam pada suhu 175C atau hingga masak mengikut oven memasing. Bila dicucuk dengan lidi atau cake tester, ianya keluar bersih kira masaklah sudah cake kita tu. Bila sudah masak, jangan terus keluarkan dari oven. Renggangkan sedikit dulu pintu oven tu sebentar dalam 10 minit, kemudian baru keluarkan. Sejukkan sebentar baru dikeluarkan dari bekas atau loyang.

Cake ini boleh juga terus dimakan begitu saja atau boleh juga disiram dengan chocolate ganache dan dihiaskan mengikut selera memasing. Untuk cake ni, saya buat ganache sikit jer, cuma nak siram jer.




BAHAN GANACHE : 

200gm Dark Cooking Choc
50gm Whipping Cream
3/4 sudu besar Butter


Dengan cara double boil, panaskan dan kacau whipping cream hingga berbuih buih di kelilingnya. Kemudian masukkan cooking choc dan kacau kacau hingga cair. Jika guna cooking choc dalam bentuk bar, potong potong kecil dulu supaya senang cair. Bila sudah cair, masukkan butter dan kacau sebentar hingga mesra. Matikan api, angkat dan tuangkan ke atas cake tadi. Taburkan dengan bahan hiasan jika suka mengikut pilihan memasing dan bolehlah dihidangkan.




~~ SELAMAT MENCUBA ~~

Thursday, 22 March 2012

NASI MANDY AYAM


Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera. Apa menu arini? Kalau masih berkesempatan, mehlaa buat NASI MANDY dengan saya. Ada yang panggil Nasi Arab kann.. bolehlah apa apa pon, janji sedap. Agak lama gak saya tak buat Nasi ni. Sebelum ni saya biasa buat yang versi daging, kali ni saya teringin laa pulak nak mencuba versi Ayam Mandy. Anak dan Hubby pon memang suka sangat NASI MANDY ni, menambahkan lagilaa semangatku untuk masakkan dorang berdua insan tersayang dalam hidupku ni.




Okayy.. takleh bebel panjang sangat, sebab resepi ni pon kusss semangat panjangnya tapi taklah susah.. Janganlaa risau.. Cer nengok dulu yer.. Moh kita ke dapoq.. ;)

~~ NASI MANDY ~~

BAHAN BAHAN ( Anggaran 4 Org makan) :

3 pot(rice cooker) basmathi
1 kg Ayam
2 biji bawang besar
1 inchi halia
1 bj buah tomato yg masak
1 sudu besar Rempah Sup
2-3 helai daun pandan
3 ulas buah pelaga (yg mcm bj limau tu)
Sedikit bunga lawang, kulit kayu manis, cengkih
Minyak Sapi + Minyak Zaitun utk menumis
Garam secukup rasa
2 helai daun pandan
Saffron (klu tkde guna pewarna kuning)
Sedikit Lada hitam biji (klu suka)
Sedikit Daun Pudina




Bersihkan Ayam dan potong mengikut citarasa memasing. Sebaiknya dipotong kepada 4 bahagian jer. Biasanya kalau nak masak ayam, setelah dibersihkan saya akan rendam sebentar dalam air kunyit (kunyit serbuk). Ayam tidak akan hanyir yang membuatkan kita mual nak makan nanti malah baunya pon akan lebih segar. Lepas tu baru bilas bersih dan toskan. Cubalah.. Insyaallah.

Blendkan bawang besar, buah tomato dan halia. Masukkan separuh bawang besar, buah tomato dan halia yg telah dimesin, serta rempah sup dan sedikit kulit kayu manis, bunga lawang dan buah pelaga ke dalam periuk yang berisi air secukupnya. Rebus bersama ayam tadi dengan api sederhana untuk mendapatkan air atau stock ayam. Masukkan juga 1-2 helai daun pandan ke dalam air rebusan tu. Selain menaikkan aroma, daun pandan tu juga boleh mengurangkan bau hanyir ayam tu. Apabila ayam sudah masak, keluarkan dan toskan dulu. Nanti kita akan perap untuk dibakar.




Sediakan periuk untuk memasak nasi. Panaskan minyak sapi dan minyak zaitun. Tumiskan kulit kayu manis, bunga lawang n buah pelaga. Kemudian masukkan balance bawang, buah tomato dan halia mesin tadi dan daun pandan. Kalau suka boleh juga bubuh sedikit lada hitam biji. Setelah naik bau, masukkan pula air rebusan ayam tadi dlm 5-6 pot rice cooker. Tapi ini bergantung pada jenis beras jugaklaa.. yg ni saya guna beras basmathi cap Jasmine yg superlong tu.. Beras tu kena rendam dulu selama 10 min, kemudian basuh dan toskan sebelum dimasak. Bubuh garam dan sedikit daun pudina. Transfer ke rice cooker, biarkan sampai masak. Sesekali kacau perlahan supaya masak sekata. Jgn kacau kerap sgt bila dh kering, nanti dia hancur, tk cantek nasi. Bila dah masak betul, masukkan Saffron yang telah direndam dengan sedikit air panas ke atas nasi tu. Kalau takder gunalah pewarna kuning. Titik titikkan sedikit pewarna kuning ke atas nasi tadi dan biarkan (jgn kacau dulu) untuk mencantekkan warna nasi tu. 




~~ AYAM MANDY ~~

Ayam yang telah direbus dan toskan tadi saya perap dengan 1 sudu besar Rempah Sup lagi, sedikit garam, saffron (klu tkde gantikan dgn serbuk kunyit), perahan lemon, hirisan bawang besar dan sedikit daun pudina. Setelah lebih kurang 1/2 jam diperap, bakar di dalam oven lebih kurang 30-40 min pada suhu 170C sehingga garing sedikit bahagian luarnya atau terpulanglah pada selera memasing nak panggang takat mana. Bila sudah masak secukupnya, masukkan ke dalam periuk nasi dan letakkan di atas Nasi Mandy yang telah dimasak tadi.


NOTE : Kalau kengkawan terlebih rajin lagi dan nak sedap lagi tumbuk atau blend jer 2 sudu besar Ketumbar, 2 sudu besar Jintan Manis dan  1 sudu besar Jintan Putih bg menggantikan rempah sup.




Untuk SOS dia, blend lebih kurang 1 biji buah tomato (buang bijinya) dgn 3 batang cili merah, 6 tangkai cilipadi, sedikit daun pudina, sedkit air, minyak zaitun, sedikit garam dan perahan lemon (ikut selera laa, nak masam takat mana).

Untuk SALSA pula, potong dadu timun (saya suka timun jepun) dan tomato (buang bijinya). Klu suka boleh juga bubuh bwg besar yg dihiris bulat2. Kalau ada capsicum pon boleh buh gak, saya takder kat dapo tadi. Kemudian gaulkan bersama sedikit garam, minyak zaitun dan daun pudina yang dicincang halus hingga rata.

Kalau suka, boleh juga buat YOGHURT yang dibancuh dengan sedikit air suam. Kemudian gaul rata dgn sedikit daun pudina yang dicincang halus. Jika perlu, masukkan secubit garam dan jika nak masam lagi perahkan sedikit perahan lemon. Yang ni saya mesti kena buat sebab peberet suami saya untuk makan bersama hidangan Nasi Mandy ni.




Alhamdulillah.. Siaplaa dah.. Senang jer kann.. Cubalah.. takyah sesusah gi Restoran Nasi Arab lagi, mahal kann.. buat sendiri leh stemet dan puas makan ngan keluarga di rumah. Kena pulak ngan Dessert Puding Caramel.. Pergghh..  Selamat Mencuba (",)

Tuesday, 20 March 2012

Ikan TENGGIRI Masak CABAI


Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera    :)


Jumpa lagiiiii.. hehee.. Wat per tu?? Saya sunyi giler ni sengsorang kat umah. Cam biasa laa Anak ngan aktiviti di sekolahnya sampai ke petang, Hubby malam kang barulaa sampai. Nak merayau cam malas jer pulak, cuaca pon mendung jer tu. Lepaq kat sini jerlaa kann..

Kengkawan masak apa arini? Mesti yang sedap sedap kann. Apa apa pon air tangan kita adalah yang terbaek untuk keluarga kita yang tersayang. Dak giteww?? hehehh.. Arini saya nak berkongsi salah satu menu masakan peberet saya. Seperti biasa, Sempoiii jer tapi tetap sedap. Untuk tekak saya laa.. IKAN TENGGIRI MASAK CABAI, pastu saya gandingkan pula dengan Tempe Goreng berempah dan Sayur buncis goreng. Jadilah kann.. Alhamdulillah..




BAHAN BAHAN :

500 gm Ikan Tenggiri
6 batang Cabai Idup/Cili Merah *
6 tangkai Cabai Burong/Cili Padi *
5 ulas Bawang Merah *
2 ulas kecil Bawang Putih *
1 biji Bawang Besar *
1 biji Bawang Besar (dihiris bulat)
2 batang Serai (dititik)
1/2 cawan Santan Pekat (klu suka)
2 sudu besar Jus Lemon/Limau (ikut citarasa)
1 cawan Air atau secukupnya
Garam secukup rasa
Minyak untuk menumis




Bila checkidaudd semua bahan di atas ada kat dapoq, boleh laa kita mulakan operasi yer.. Tapi bahan ni semuanya senang jer dan selalu ada kat dapoq kita kann.. Okayy, memula bersihkan dulu ikan dan potong mengikut size pilihan masing masing yer. Kalalu anak ghamai, potong nipis sikit. hahaa.. gurau yer.. Kami bertiga, saya potong 3 jer laa. Pastu gaul ikan tu dengan garam kunyit dan goreng hingga masak, angkat dan ketepikan dulu.

Blend atau kisar semua bahan bertanda (*) di atas. Panaskan kuali dan minyak untuk menumis. Masukkan serai dulu dan tumis sebentar bagi naik bau serai dalam minyak tu dan dikuti dengan bahan yang diblend tadi. Goreng hingga garing dan naik bau. Kemudian bolehlaa masukkan sedikit garam dan sedikit air agar dia berkuah sikit. Juga kalau suka boleh masukkan sedikit santan pekat. Bila semua dah menggelegak bolehlaa bubuh jus lemon atau limau secukupnya mengikut citarasa memasing. Akhir sekali masukkan ikan dan bawang besar yang dihiris bulat tadi dan masak sebentar. Rasa garam, jika sudah secukup rasa siaplah hidangan kita ni. Senang kann.. :)




Lagi satu yang sempoi saya nak kongsi kat sini, TEMPE GORENG BEREMPAH SOTO Tok Mak. Sedap sangat. Dah berkali kali buat, memang laju jerlah. Ratah macam tu pon dah sedap. Kalau dapat cecah ngan sambal kicap jawa tu lagilaa kababoomm.. hehee..

Caranya senang jer.. Ambil 2 packet tempe dan dihiris nipis dan bilas sedikit dengan air. Kemudian gaul dengan 1 sudu besar Rempah Soto Tok Mak dan sedikit Garam secukup rasa. Perapkan seketika bagi dia mesra dan goreng.. haaa.. sempoi kann.. Tapi pada sesiapa yang tak ada rempah Soto Tok Mak ni boleh juga tumbuk 1 sudu besar ketumbar dan 1 sudu besar jintan manis bagi menggantikannya. Jangan risau, apa jer boleh kita adjust. Kita buat dia kann.. ;)


Monday, 19 March 2012

Bebola DONUT Ceklat


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera    :)

Hyeee.. Apa khabar kengkawan? Mungkin ada yang baru balik dari bercuti ni kann.. Seminggu dah cuti sekolah, esok nampak gayanya segala tugasan bermula balik seperti biasa. Saya ni pon keletihan gak arini. Balik umah tengahari tadi terus fengsan satu umah. Sedar sedar cam sejuk semacam laa pulak. Rupanya ujan kat luar. Peghot yang tak gi sekolah ni pon apa lagi, berkeroncong laa pulak.. Lapar doe.. :P




Tetiba teringatkan tepong yang dah lama tersimpan dalam laci dapo tu. Kalau nak tau, tepong ni pon ada al-qesahnya. Yang benonya tepong yang saya wat donut ceklat ni saya tersilap masa nak buat roselle brownies aritu. Patotnya guna tepong cake utk wat brownies tu tapi dek masa membuat tu dah tengah malam dan mata pon dah terang gelap, terang gelap tanpa disedari tangan ni gi capai tepong high protein yg untuk buat roti tu. hahaa.. seb baek boleh perasan sebelum terejun dalam batter tu, kalau tak memang punah laa roselle brownies tu aritu. Alhamdulillah, Allah memberi petunjuk. Mungkin itulah hikmahnya bila kita masak dengan penuh kasih sayang atau cam omputih cakap, "COOKING WITH LUV".




Makanya, dari tepong tu terbuang saya buatlaa Donut Ceklat ni. Pada kengkawan yang bertanya resepi ni saya share laa jugak.. tapi ada berannn ker?? Ngeeee... ;D  Janganlaa risau.. Tetap lembut dan gebusss Donut ni walaupon chomel chomel jer..



BAHAN BAHAN :

2 cawan Tepong High Protein
2 sudu besar Tepong Jagung
2 sudu besar Serbuk Koko
2 sudu besar Margerin
1 sudu besar Shortening
1 sudu besar Susu Tepung
1 sudu besar Gula
1/2 sudu kecil Garam
1 biji Telur
6 gram Serbuk Yis
100 ml Air Suam
Gula Icing secukupnya utk tabur/gaul




CARA CARANYA :

Pukul sedikit telor dengan garam.
Satukan semua bahan kecuali Air dan Gula Icing dan gaul rata.
Kemudian masukkan air sedikit demi sedikit dan uli hingga sebati.
Rehatkan doh sebentar hingga menjadi 2 kali ganda.
Tumbuk tumbukkan sedikit untuk keluarkan anginnya.
Bentuk bentuk kan mengikut citarasa memasing.
Biarkan dia naik sedikit sebelum menggoreng.
Goreng dengan api sederhana.
Setelah masak, angkat dan toskan.
Gaul atau tabur dengan gula atau gula icing ketika masih panas.




Saya suka guna Gula Icing untuk tabur atau gaul pada donut yang saya buat sebab ia memudahkan kerja saya, tak perlu nak blend gula lagi dan juga ianya tak manis sangat. Tapi terpulanglah pada citarasa dan keselesaan memasing. Boleh jer kalau nak guna gula pasir yang dikisar halus.




~~ SELAMAT MENCUBA ~~

Thursday, 15 March 2012

KIWI & STRAWBERRY CUSTARD PIE


Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera   :)

Selamat Pagi jugak buat Semua yang saya sayang. Mendung jer kan beberapa hari ni. Pepagi pon sejuk jer, macam Winter Sonata pon ada gak.. hehee.. Petang semalam saya boring sangat tapi tekak cam teringin nak makan dessert, nak buat yang susah susah tu tak berapa nak rajin laa pulak. Jawabnya mengePIE jer lah yang senang dan sedap.




Atas permintaan kengkawan, saya share lagi resepi tu kat N3 ni yer.. Kalau perasan nanti saya kurangkan lagi gula pada Custard tu. Saya tak suka yang manis manis sangat. Suka ~~Yang Sedang Sedang Saja~~ ;D




~~ PIE CRUST ~~
Bahan Bahan :
1 1/4 cawan Tepong Gandum
125 gm Unsalted Butter (sejuk dr fridge)
1/4 cawan Gula Icing
1/4 sudu kecil Garam halus

Gaul semua bahan di atas hingga sebati mesra alam. Masukkan ke dalam acuan pie yg removable tu dan ratakan mengikut bentuk acuan tu. Kemudian masukkan ke dalam peti sejuk selama 15-20 min. Apabila dikeluarkan dari peti sejuk, cucuk cucukkan sedikit permukaan pie tu dgn garpu dan bakar selama 25-30 min pada suhu 170 deg Celcius. Tapi ni bergantung jugak pada oven memasing yer.. Kena checkidauudd selalu. Agak2 dah bertukar ke warna kuning keemasan tu kira masaklaa dah tu. Lagi satu, kalau masa masak tu nampak pie tu cam naik kat tengah dia tu tekan tekan sikit dengan senduk kayu. Kalau ada bahan pemberat yang bersesuaian juga kita boleh letak di tengahnya ketika memasak. Tapi lecehlah camtu.. bila nampak naik tu, tekan jer perlahan ngan senduk lagi senang citer.





~~ CUSTARD ~~
Bahan Bahan :
2 biji Kuning telor
2 sudu besar Gula
3 sudu besar Tepung Jagung
1 cawan Susu Sejat
1 susu kecil Vanilla Essence
1 sudu besar Butter

Mula mula pukul dulu 2 biji merah telor bersama 1 sudu besar gula hingga agak kembang, kemudian masukkan 3 sudu besar tepung jagung sedikit sedikit dan pukul hingga sebati. Masak pula 1 cawan susu (saya guna susu ideal) dgn 1 sudu besar gula. Kalau suka manis, bolehlaa tambah lagi 1 sudu besar gula, saya tak suka memanis sangat. Suka yang sedang sedang ajer. Bila susu dah hampir mendidih, masukkan bahan telur kuning tadi dan kacau cepat cepat dgn api perlahan. Bila dah agak pekat, masukkan 1 sudu besar butter dan kacau rata. Matikan api dan tuang ke atas permukaan Pie tadi dan ratakan. Sejukkan sebentar custard tu dan susunkan buah kiwi n strawberry di atasnya atau dengan apa saja buah yang menjadi pilihan hati dan tekak.




Akhir sekali kita sapu permukaan Pie tu, kasi GLAZE untuk mengilatkan dia. Baru nampak lagi seksi pie kita tu kann.. Saya guna cara mudah jer, guna jem peach yang dibancuh dengan sedikit air panas dan sapu jer kat atas buah buah tu. Kemudian masukkan ke dalam peti sejuk. Yayyy.. jadilaa dahh.. Sedap dihidangkan ketika sejuk atau Omputih cakap 'Serve Chilled' :P




Selamat Mencuba yer kengkawan. Memang berbaloi baloi. Mudah jer dan sangat sedappp.. Tekak saya lah yer.. hehee..



Tuesday, 13 March 2012

AYAM Masak UNGKEP


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera Semua  :)


Apa khabar kengkawan semua? Alhamdulillah saya masih diberi kesempatan berada di sini lagi. Agak banyak hari jugak kan tak masukkan N3 baru. Sibuk sikitlah ngan memacam hal yang tah hape hape pon tak taulaa. Maaf juga pada teman teman yang menanti resepi Ayam Masak Ungkep ni dari saya. Bukan tak nak bagi dari awal, cuma saya tidak punya masa untuk betul betul duduk untuk menulis di sini. Kalau diikutkan memang banyak N3 dok queue tu, takperlah bak kata orang, biar lambat asal selamat kann.. Bukan apa, nanti kelam kabut, kelam kabut kepala tak boleh nak fokus. Takut pulak ada tersilap bagi info pulak nanti, naya jer kang. Okaylah saya pon curi curi masa jer ni. Jam dinding menunjukkan sudah hampir ke pukul 2.00 pagi, tak daya gak dah nak bebel pepanjang. Mohler kita nengok camner nak masak Ayam Ungkep ni yer..





BAHAN BAHAN :

500 gm Ayam
2 batang serai (dititik)
1 inci Halia *
1 inci Kunyit Hidup *
1 ketul Cekur (kalau suka) *
6-8 ulas Bawang Merah *
2 Ulas Bawang Putih *
10 tangkai Cilipadi  *
2 sudu Besar Ketumbar *
1 sudu besar Jintan Manis *
1 sudu besar Jintan Putih *
1 helai Daun Kunyit (dirampai)
2-3 helai daun Cekur (disiat siat)
1/2 cawan Minyak utk menumis
1-2 Biji Bawang Besar
Sedikit Air Asam Jawa
Garam secukup rasa




LANGKAH SETERUSNYA ;

Potong ayam mengikut citarasa, bersihkan dan toskan.
Sangai (goreng tanpa minyak) dan tumbuk atau blend halus semua bahan bertanda (*). Saya tumbuk ngan lesung batu jer, lagi wangi dan garing rempah tu. 

Panaskan kuali dan minyak. Tumis semua bahan yang ditumbuk tadi bersama serai yang dititik hingga garing, berwarna keemasan dan naik bau. Masukkan sedikit garam dulu supaya ianya garing dengan cantik. Kemudian masukkan Ayam dan gorengkan sebentar bersama bahan tumisan tadi.

Setelah ayam tu agak garing luarnya dan hampir masak, bolehlah kita masukkan air asam jawa dan terus memasak hingga ayam tu betul betul masak. Air asam jawa tu adjustlah mengikut citara sendiri yer. Masuk sikit sikit dulu pastu rasa pon boleh. Selepas itu bubuhlah garam secukup rasa. Hiriskan bawang besar bulat bulat, tabur dan masak sebentar hingga bawang tu agak layu dan juga masukkan daun kunyit dan daun cekur tadi. Siap dan bolehlah dihidangkan.




Resepi ni sebenarnya saya dapat dari keluarga mertua saya yang berketurunan Jawa. Cuma saya adalah adjust sikit ikut citarasa saya. Kalau ikutkan dorang tak letak cilipadi tu gak tapi bubuh lada hitam atau lada putih yang ditumbuk. Ayam masak Ungkep ni memang sedap betul kalau dimakan ngan nasi pepanas. Kalau dapat masak ni ngan Ayam Kampung lagi laa kababoomm.. Memang berpeluh berjurai jurai lah. Dapat pulak kalau ada ikan masin ker kann.. mmm.. Alhamdulillah.. Syukur pada rezekiMU Ya Allah.




~~ Selamat Mencuba ~~

Friday, 9 March 2012

STRAWBERRY KUHFI



Assalamualaikum dan Salam Jumaat buat Semua   :)


Pepanas ni apa kata kita layan something yang boleh menyejukkan tekak dan menyegarkan diri kita. Jom kita try buat STRAWBERRY KUHFI yang sangat sangat mudah tapi sedap dimakan.. Saya laa yang cakap tu yer.. hehee.. Macam eskrem Strawberry pon ada gak rasanya.




Resepi asal ni saya dapat dari Pakcik Google. Kalau tak silap ianya berasal dari India. Bermacam macam cara membuatnya ada tapi saya terberkenan pada cara ni yang ni lah sebab nampai sempoi betoi. Tu yang saya cuba buat, tapi betol betol cakap boleh tahan laa jugak rasanya. Cuma saya adalaa adjust sikit sikit ikut selera saya dan bahan yang dah sedia ada kat dapo sweet dapo saya tu. Kalau kengkawan nak tau, kena laa cuba yer.. Jom kita buad sat..:)





BAHAN BAHAN :

1 cawan buah Strawberry (dipotong kecil)
200 ml Whipping Cream (tawar)
200 ml Evaporated Milk (Susu Sejat)
3 sudu besar Gula Pasir
Beberapa titik Strawberry paste (jika suka)





Satukan semua bahan di atas dan blend hingga halus. Tuangkan ke dalam bekas atau acuan dan masukkan ke dalam freezer. Biar semalaman atau hingga beku, keluarkan dan bolehlah dihidangkan. Senang jer kann.. Cubalah.. :)


Wednesday, 7 March 2012

MEE HOON Goreng TAUCHU


Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera   :)

Selamat Pagi juga buat semua. Apa menu sarapan kengkawan arini? Saya nak berkongsi antara menu sarapan peberet Suami saya, Mee Hoon Goreng Tauchu ni. Dari dulu kalau saya goreng Mee Hoon ni mesti dia akan pesan sesiap, "Jangan lupa buh tauchu yer".. Bagi tekak kami memang sedaplah. Adalah kelainan rasa dia sikit dari yang selalu tu kan.




Arini saya tak berapa sehat laa rasanya, jadi tak bebel laa panjang panjang. Jomlaa nengok cane saya buat Mee Hoon Goreng Tauchu sempoi ni. Banyak hari gak dah masak ni, tak sempat sempat nak masukkan entry. Tah hape yg sebok sangat pon tak taulaa. Cam cepat betol rasanya masa berjalan, tak terkejo kengkadang kann..




BAHAN BAHAN :

400 gm Mee Hoon (direndam)
250 gm Ayam (atau apa jer suka)
3 sudu besar Cili Mesin
1 sudu besat pes Tauchu
1 sudu besar Sos Tiram
1 sudu besar Sos Tomato
2-3 keping Tahu (digoreng)
10 biji fishball (klu suka)
1/2 cawan Minyak utk menumis
1 cawan air atau secukupnya
Sedikit Kucai (atau apa sayur yg digemari)
Garam secukup rasa
Sedikit Minyak Bijan

Bahan tumbuk :
5 ulas Bawang Merah
3 Ulas Bawang Putih




CARA CARANYA :

Panaskan minyak dan tumis bahan yang ditumbuk tadi hingga keperangan. Kemudian masukkan cili mesin, sedikit garam dan masak cili hingga garing dan hilang bau cili tu. Pastu bubuhlah tauchu, Sos Tiram dan Sos Tomato. Kemudian masukkan ayam. Kalau nak guna daging atau udang pon boleh. Ikutlah citarasa kita dan apa yang kita ada kan.

Okayy.. bila ayam tu sudah masak, masukkan air serta garam secukup rasa dan biar mesra seketika semua bahan dalam kuali tu. Garam tu kena kurangkan sikitlah dari selalu sebab tauchu tu kan masin. Adjustlah ikut selera memasing yer, saya guna dalam 2 sudu teh camtu. Kemudian bolehlaa masukkan mee hoon yang telah kita rendam dan toskan. Dikacau rata dan dibalik balikkan selalu supaya ia masak sekata. Kalau mee hoon sudah oleh dipotong dengan sudip tu, kira dah masaklah. Tapi kalau nak lembut lagi bolehlah ditambah lagi dengan sedikit air masak. JANGAN bubuh AIR PANAS yer.. nanti benyek mee hoon kita, tak sedap dan semenggah pulak rupa dia.

Akhir sekali barulah kita masukkan daun kucai atau sayur sayuran lain yang hendak dibubuh. Biarkan masak seketika dan bolehlaa dihidang. Jangan lama sangat, nanti sayur tu layu sangat tak sedap. Renjiskan sedikit minyak bijan ke dalam Mee hoon tu dan gaul rata. Hiaskan lah dengan hirisan tomato, tahu goreng atau apa saja mengikut citarasa memasing. Kalau nak sedap lagi, taburkan dengan sedikit bawang goreng tapi yang sandiri bikin taww.. beli punyer, mana ada ummpphh. Nak kick lagi makan ngan cili jeruk.. perghhh.. takyah citer laa kann.. meleleh ayaq lioq.. ;P



Apa apa pon, SELAMAT MENCUBA.. Petua saya hanya satu, COOKING WITH LUV  ;)


Monday, 5 March 2012

CHEESE FRUIT CAKE

Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera Semua   :)

Jumpa lagi kita yer kengkawan. Alhamdulillah.. Weekend aritu saya dah ketandusan stock makanan nak nguyah. Peti sejuk penuh sesak ngan tah hape hape mender pon tak taulaa. Kenalah pikirkan sesuatu yang sedap dimakan dan tak perlu disimpan di dalam peti. Tetiba teringatkan CHEESE FRUIT CAKE ni, lama dah dok simpan resepinya dari teman mukabuku Sue Aleen. Bahan pon adalaa jugak, apa lagi kasi On jer laa. Buat dia pon cam mudah jer bila baca resepi. Apa lagi, ku mulakanlah langkahku.. Jom jomm.. ;)




BAHAN BAHAN : 
140 gm Tepung Gandum*
200 gm Mixed Fruits*
200 gm Tepung Gandum**
1/2 sudu teh Baking Soda**
1/2 sudu teh Baking Powder**
1 sudu teh Serbuk Kulit Kayu Manis**
1 sudu teh Serbuk Buah Pala **
250 gm Butter (suhu bilik)
250 gm Cream Cheese (suhu bilik)
150 gm Gula Kaster
5 biji Telur saiz sederhana
1 sudu teh Vanilla Ekstract (saya guna Vanilla Pod ;)
~~ Kalau takde guna Esen Vanilla jer.




LANGKAH SETERUSNYA ;

Gaul bersama bahan bertanda (*) dan ketepikan
Satukan bahan bertanda (**). Ayak dan ketepikan

Panaskan oven pada suhu 170°C. Lenser loyang atau bekas berukuran 8 inci dengan mentega atau sebarang yang menjadi pilihan. Saya guna bekas Silicone ni. Ketepikan.

Dalam mixing bowl, satukan mentega dan krim keju, pukul hingga rata. Masukkan gula dan Vanilla Extract. Pukul hingga putih, masukkan telur satu persatu sambil terus memukul hingga kembang dan gebu.

Perlahankan kelajuan, masukkan tepung sedikit demi sedikit hingga habis dan akhir sekali masukkan buah-buahan yang telah digaul dengan tepung, hingga habis. Gaul rata.

Tuang adunan ke dalam bekas dan ratakan. Bakar pada suhu 170 C selama 50-55 minit atau hingga masak mengikut oven memasing. Periksa dengan kaedah mencucuk lidi satu ke bahagian tengah kek dan jika keluar bersih, bermakna kek telah masak.

Keluarkan kek dan sejukkan 10 minit sebelum diterbalikkan ke atas jaringan. Sejukkan kek sepenuhnya sebelum dipotong.

Note : Cake ni memang agak keras bila memula masak, biasalaa cake omputih memang cam gini style dia. Tapi kalau disimpan lama dia akan lembut dan lagi sedap, lagi terasa semua rempah dan bahan bahan lain tu bak kata Bob AF, mesraaa.. :D




Kalau kengkawan nak tau, ni lah kali pertama saya mencuba buat Cake jenis buah buah ni. Sebelum ni cam takut nak mencuba sebab ramai yang ckp bila dah masak buahnya tenggelam. Dan lagi satu sebab saya kurengg sikit sebab selalu tu Cake buah yang pernah saya makan manis sangat. tak sukalah.. Alhamdulillah resepi yang saya cuba ni tak manis sangat dan paling hepi sekali buah buah tu tak tenggelam.. yeehaaa.. :D


~~ SELAMAT MENCUBA ~~

Saturday, 3 March 2012

MLCP Daging Daun CEKUR dan Terung TELUNJUK


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera buat Semua   :)

Selamat berhujung minggu juga. Kejap jer dah sampai ujung lagi kan kengkawan. Arini saya nak berkongsi satu menu yang baru festaim saya cuba ni. Menu yang menggunakan daun Cekur. Padahal punyalaa lama daun ni dok ada dalam pasu tepi ghumah tu, baru ni teragak nak mencuba. Apa apa pon sebelum ada yang fenin mikirkan apa MLCP tu, sebenarnya ia adalah singkatan pada 'Masak Lemak Cili Padi'.. Panjang naww nak tulis sepenoh penohnya tu kat title entry ni. Sebelum ni pernah gak makan MIL masak guna daun cekur tapi bukan daginglaa, ngan menatang laen. Aritu tah macamana terpandang lak kat daun cekur dalam pasu tu, tetiba teragak nak mencuba.




Alhamdulillah.. hasilnya agak lumayan bukk.. hehee.. sedap sangattt.. bukan nak naik lift tekan sendiri yer, tapi memang sungguh nih.. untuk tekak saya laa kann.. Selalu tu saya makan nasi seminggu sekali jer.. bukan apa, kalau ngan nasi ni, cepat betol mata dacing tu mantol.. adoyyy.. Tapi dek penangan MLCP Daging Daun Cekur ngan Terung Telunjuk ni saya takleh tahan nafsu dahh.. Sampai dua kali lah makan nasi aritu. Ingat malam taknak makan dah, tapi bila petang tu saya hangatkan gulai tu, memang tergugat betul ngan bau dia yang harum tu. Anco berkecai diet ritu. Anak ngan Hubby tu, takyah citerlaa.. kena laa pulak ngan ikan goreng dan nasi pepanas kann.. Kalau dapat ikan pekasam laa mengkala kata, perghhh.. Mak mertua baek jangan laa lalu dulu yer.. nyehnyehnyeh.. ;D

Kalau nak tau cara saya buat, jom jomm kita ke dapo sweet dapoku.. :)





BAHAN BAHAN :
1 kg Daging
Segenggam Cilipadi (kurangkan, klu tk kuat pedas)
2 inci Kunyit hidup
Serai dalam 3-4 batang (dititik)
1 inci Halia (diketuk)
10 batang Terung Telunjuk
4-5 helai Daun Cekur (disiat siat)
400 ml Santan kotak (Ayam brand)
500 ml Air atau secukupnya
1 keping Asam Keping
Garam secukup rasa





Mula mula kisar atau klu rajin nak tumbuk lagi sedap, cilipadi dan kunyit hidup tu dan titik serai tu. Sediakan periuk, masukkan Daging yang telah dipotong dan dibersihkan, Cilipadi dan Kunyit yg telah dikisar tadi, Serai, Halia, Air, dan sedikit Santan dulu supaya tak terbersin bersin kita dgn bau ciliapi tu nanti. Jerang atas dapur dan masak hingga daging tu empuk dan lembut. Klu tak empuk lagi, bolehlaa ditambah lagi Air dan sambung merebus lagi. Bila daging dah lembut, bolehlaa masukkan pula terung telunjuk yang dibelah dua. Selepas itu baru kita masukkan kesemua santan, asam keping, garam secukup rasa dan biarkan mendidih seketika. Siat siatkan daun cekur tadi dan masuk ke dalam gulai tu. Jangan masak lama sangat, nanti dia terbit minyak tak cantek gulai kita nanti. Kalau selera saya, masak camni saya suka bagi kuah dia pekat sikit. Terpulanglah pada citarasa memasing yer..




Kalau ada belen kuah jangan dibuang taww.. Frozenkan, panaskan balik bila nak makan buat cecah ngan cokodoq bawang dan kucai camni pon sodappp.. Lagi lama lagi sedap rasanya. Terbaekkk sehhh.. ;P




~~ Selamat Mencuba ~~