Thursday 9 October 2014

NASI KERABU BIRUKU

Serius Terlajak Sedap!!!
Memang tak hengat makannya.. 




ASSALAMUALAIKUM & SALAM SEJAHTERA..

Seperti yang saya janjikan dikala ada kelapangan ini akan saya tulis Al kisah Nasi Kerabu Biru yang pertama kalinya saya mencuba untuk membuat sendiri. Sebenarnya dari dulu saya memang suka sangat makan nasi kerabu tapi hanya beli di kedai atau makan di Restoran. Saya ingatkan itulah Nasi Kerabu yang terbaek dah. Tetapi bila saya mencuba buat sendiri dengan menggunakan resepi dari teman saya ROZILAH ABDULLAH adalah jauh lebih sedap dari yang saya pernah makan sebelum ni walau di Restoran yang ala ala 5 bintang harganya tu. Sungguh uols.. Kalau tak sungguh saya tak cakap.. Well, u know me kann.. :)




Pergghh.. Sambil menaip ni boleh pulak terbau bau keharuman ulam ulaman untuk Nasi Kerabu ni. Padahal dah berapa minggu yg lepas saya membuatnya. Mekasih Rozi.. Memang terbaek resepi Nasi Kerabu Rozi tau. Tak lupa juga pada Kanda DATIN ELANI AB KADIR yang juga banyak memberi tunjuk ajar untuk menghasilkan Nasi Kerabu yang sangat sedap ini. Maklumlaa saya bukan berasal dari Pantai Timur dan tak pernah langsung melihat bagaimana orang memasaknya. Hanya berpandukan resepi sahaja. Ada yang agak blur tu terpaksalah hello hello kengkawan.. Dengan itu saya mohon resepi Nasi Kerabu ini dikongsikan di sini buat rujukan saya dan teman teman.




NASI

4 pot Beras Siam Serindit (Saya guna basmathi)
5 pot Air - bergantung kepada beras masing2
3 helai Daun Limau Purut - dikoyak2
3 helai Daun Pandan - disiat & disimpul
Segenggam Bunga Telang - direndam




Beras dibersihkan dan rendam sebentar dengan air bunga telang untuk menyerapkan lagi warna biru pada beras. Kemudian ditanak seperti biasa bersama-sama daun limau purut, daun pandan dan air bunga telang yang memberi aroma semulajadi pada nasi. Saya masukkan sedikit garam.




SAMBAL KELAPA IKAN

5 ekor Ikan Kembung @ Ikan Sardin
5 biji Bawang Merah
Sehiris Halia
1/2 biji Kelapa
3 batang Serai
10 biji lada hitam (boleh letak lebih sekiranya suka)
Sedikit Garam
Sedikit Gula (Saya tak bubuh)




Goreng kelapa seperti buat kerisik tapi jangan terlalu garing. Kemudian tumbuk kelapa hingga halus (saya guna mesin kering) tetapi jangan sampai pecah minyak.


Bakar ikan @ rebus ikan. Asingkan isi dan ketepikan. Saya suka sangai dulu isi ikan ini (setelah direbus) di dalam kuali hingga kelihatan isi ikan itu seperti kapas.


Tumbuk bawang merah, halia, serai, garam dan sedkit gula hingga lumat dan sebati. Masukkan bahan-bahan ini ke dalam kuali bersama2 ikan yg telah disangai terlebih dahulu dan sangai lagi hingga kering. Rasakan garamnya. Ketepikan.

Note: Sambal Kelapa Ikan ni biasanya orang buat tak garing sangat tapi saya suka garing sikit camni sebab dah isi kelapa dan ikan yang lembab pada Solok Lada. Ini selera saya lah yer.. Maaf bukan nak derhaka pada resepi asal. 




KUAH TUMIS (Kuah Nasi Kerabu)

Santan Pekat dari Sebiji Kelapa
10 tangkai Cili Kering
5-8 ulas Bawang Merah Kecil
1 ulas Bawang Putih
2 batang Serai - di ketuk
Sehiris Lengkuas
2-3 keping Asam Keping/Gelugur
Sedikit Budu
Sedikit Minyak utk Menumis

Semua bahan dikisar hingga lumat kecuali serai dan asam keping. Masukkan sedikit minyak ke dalam periuk dan tumis kesemua bahan kisar hingga naik bau dan masak cilinya. Kemudian masukkan serai yang diketuk tadi bersama santan. Masukkan asam keping, gula dan garam. Didihkan dengan api perlahan hingga naik minyak.




SOLOK LADA

10 biji Lada Hijau
(dibelah jangan sampai putus dan buang biji)
½ biji Kelapa Parut Putih
5 biji Bawang Merah
Sehiris Halia
1 ekor isi Ikan Tenggiri size kecil
Sedikit Garam
¼ cawan Santan Pekat
Sedikit Lada Hitam(ditumbuk kasar) - Saya tambah
Sedikit Kerisek - Saya tambah
Sedikit hirisan Daun Kunyit - Saya tambah




Tumbuk bawang dan halia hingga lumat. Campurkan semua bahan dan sebatikan. Sumbatkan ke dalam lada yang telah dibuang biji tadi. Susun dalam kukusan dan kukus sebentar hingga isi lada tu masak. Ni cara saya yer.. Saya rasa lebih mudah. Kalau tak, susun dalam periuk dan masak dengan santan.




IKAN GORENG CELUP TEPUNG

5 ekor Ikan - dibersihkan dan tos
½ cawan Tepung Beras
Sedikit Air Kapur
Sedikit Serbuk Kunyit
Garam secukup rasa
Minyak untuk menggoreng

Saya perap sebentar ikan dengan sedikit garam dan serbuk lada sula. Kemudian bancuh tepung beras bersama air kapur, serbuk kunyit, garam dan air secukupnya. Pekat cairnya seperti menggoreng pisang. Panaskan minyak. Celupkan ikan ke dalam bancuhan tepung dan goreng hingga masak.




ULAM-ULAMAN

2 helai Daun Kunyit
5 helai Daun Cekur
1 batang Bungan Kantan
10 tangkai Daun Kesum
5 tangkai Daun Selasih
5 batang Kacang Panjang
5 batang Kacang Botol
Sedikit Daun Selom
1 biji timun - Saya lupa beli
5 biji bawang putih jeruk - Saya tkder
1 labu Bawang Besar - Saya tambah
1 mangkuk kecil Taugeh, dibuang ekornya

Hiris halusss kesemua bahan ulam halus kecuali taugeh.




DAGING BAKAR 

1kg Daging Batang Pinang
1 sudu besar Ketumbar *
1 sudah besar Jintan Manis *
1/2 sudu besar Jintan Puith *
3 ulas Bawang Putih *
Sedikit Minyak Zaitun

Basuh dan toskan betul betul daging. Blend semua bahan bertanda (*) dan kemudian lumurkan pada daging. Titiskan sedikit dengan minyak zaitun. Perap semalaman di dalam fridge dan bolehlah membakor. Bakar ikutlah nak masak tara mana. Kemudian angkat dan hiris nipis.




CARA HIDANG

Sendukkan nasi ke dalam pinggan. Letakkkan sedikit sambal kelapa ikan, cili padi jeruk (air lada), kuah tumis, budu diakhiri dengan ulam. Gaul rata-rata, bolehlah dihidangkan bersama lauk-lauk yang sesuai seperti solok lada, telur masin,keropok goreng, daging bakar, ayam bakar, ayam goreng berempah dan juga ikan goreng celup tepung. Terpulanglah pada selera memasing atau apa stock lauk yang kita ada. SELAMAT MENCUBA!