Assalamualaikum dan Salam Sejahtera. Last weekend nakdara saya balik, cuti panjang kann.. dari Maulud Nabi sampailah ke Thaipusam. Seperti biasa, bila anak balik pasti kita sebagai ibu nak jugak buat atau masak makanan kegemaran mereka. Farrah memang sedari kecik suka sangat makanan KUIH LAPIS. Sebelum ini pernah juga beberapa kali saya mencuba buatnya dan sering juga memperolehi kegagalan. Adakalanya keras sangatlah dan adakalanya pula lembik sangat sampai kena makan ngan sudu.. hehee.. Tapi dek kerana Farrah suka sangat dia sudukanlah juga, langsung tak terbuang.
Saya tak pernah putus asa dan terus mencuba mencari resepi yang terbaek demi anak. Saya pun memang suka jugak makan kuih ni dari kecik lagi, tu yang menurun kat Farrah agaknya. Dulu selalu makan yang Mak buat. Memang sedap betul yang Mak buat tapi masalahnya cam biasalah, Mak masak mana ada recipe dengan sukatan yang betul. Dia main lebur jer pun dah jadi elok dan sedap. Tangan orang lamalah katakan, cuma yang saya tau Kuih Lapis Mak banyak guna tepung beras. Tetiba masa saya skodeng blog MAMA SARA NUR saya terpandang akan resepi Kuih Lapisnya yang agak memenuhi citarasa saya. Saya pun terus amik recipe yang asalnya dari Kak Ann, PERIUKTANAH. Alhamdulillah, setelah mencuba memang sangat berpuas hati dan mudah membuatnya. Terima kasih banyak banyak buat Mama Sara Nur dan Kak Ann, inilah recipe yang saya cari selama ini. Cuma ada sedikit yang saya adjust mengikut kesesuaian dan citarasa saya. Saya mohon share di sini recipenya buat rujukan saya, anak saya nanti dan juga teman teman yang berminat dengan KUIH LAPIS yang sangat sedap ini.
BAHAN BAHAN :
3 cawan Tepung Beras
6 sudu besar Tepung Gandum
6 sudu besar Tepung Jagung
6 cawan santan dari 1 biji Kelapa
1 1/4 cawan Gula Kaster
1/2 sudu teh Garam Halus
Sedikit Pewarna Merah
Sedikit Perisa Ros
CARA CARA :
Panaskan pengukus dan sediakan loyang berukuran 7 inci. Masukkan santan ke dalam periuk. Panaskan sebentar biar jadi suam-suam kuku. Tutup api. Masukkan tepung beras, tepung gandum, tepung jagung, gula dan garam ke dalam mangkuk. Masukkan santan sedikit demi sedikit sambil digaul rata hingga tidak berbintil dan tapiskan. Masukkan sedikit perisa ros dan bahagikan adunan kepada 2 bahagian. Warnakan satu bahagian dengan warna merah dan satu lagi biarkan pada warna asalnya.
Lenserkan bekas yang bersesuaian dengan sedikit minyak. Dengan sukatan 1 cawan metrik tuangkan adunan merah atau tanpa warna dulu yang mana suka ke dalam loyang atau bekas pilihan. Tutup kukusan dan kukuskan selama lebih kurang 10 minit atau hingga lapisan itu masak. Jika disentuh dengan jari, ia tidak melekat tu masaklah sudah. Kemudian tuangkan lapisan kedua dengan perlahan lahan pada sukatan yang sama, 1 cawan juga dengan warna yang berlainan dan kukus lagi. Ulang proses hingga habis dan pastikan diakhiri dengan warna merah.
Setelah lapisan terakhir masak, buka tutup kukus dan biar ia terus mengukus dengan keadaan tidak bertutup selama lebih kurang 10-15 minit. Ini bertujuan untuk mengeringkan lebihan air yang ada di permukaan kuih. Sejukkan betul betul sebelum dipotong. Jika dipotong panas panas nanti tak cantik rupanya. Bagi saya kuih lapis yang perfect adalah yang boleh dimakan selapis selapis camni. Selamat Mencuba..