Wednesday, 27 February 2013

KUIH KOLE KACANG PUJAANKU



Assalamualaikum dan Salam Sejahtera. Hmmm.. Duduk duduk tetiba tekak ni punyalaa teringin nak makan kuih tradisional kita Kole Kacang tu. Lama jugaklah memendam rasa, ni dah takleh pendam lagi terpaksalah kayuh jugak. Banyak kali jugak saya beli dari beberapa penjual tapi rasanya amat mengecewakan. Pernah sekali tu sampai tak tertelan langsung rasanya. Kecewa betul saya rasa masa tu. Akhirnya saya tekad nak cari jugak resepi yang memang saya tau sangat sedap dan cuba untuk buat sendiri. 

Resepi ni asalnya dari jiran kat umah Mak saya yang sememangnya dari dulu berniaga kuih muih. Semua kuih jualannya memang sedap sedap belaka. Dulu kalau teragak nak makan saya order jer, tak pun Mak yang buatkan. Sekarang ni Achik yang jual kuih tu pun dah tak larat. Mak saya pun lebih kurang jugaklah, semakin uzur. Rasanya dah tibalah masanya saya belajar buat sendiri kann.. Alhamdulillah setelah beberapa kali menalipon Achik tu dan jugak Mak saya bertanyakan resepi dan cara membuat Kole Kacang yang sangat sangat saya gemari ni, jadilah jugak dan dapatlah ilang kempunan saya. Pada kengkawan yang menantikan resepinya dengan penuh sabar tu, mehlah saya story yer.. Jom jomm kita pi dapoq.. (;




BAHAN BAHAN :

2 cawan Tepung Kacang Hijau BABAS
3 biji Kelapa jadikan ~~ 5 cawan Santan Pekat
                                ~~ 10 cawan Santan Cair
2 cawan Gula Merah
1 cawan Gula Pasir
2 cawan Air
Beberapa helai Daun Pandan
1/2 sudu kecil Garam Halus




Dalam periuk kecil satukan 2 cawan gula merah, 1 cawan gula pasir, 2 cawan air dan 1-2 helai daun pandan yang disiat dan disimpul. Boleh kurangkan gula pasir jika tak nak manis. Ikutlah citarasa memasing yer. Masak hingga gula larut dan mendidih seketika. Sejukkan sebentar dan tapiskan.

Selepas itu kita buatkan Tahi Minyak pula. Masukkan 5 cawan santan pekat dari perahan pertama ke dalam kuali bersama 1-2 helai daun pandan yang disiat dan disimpul. Masakkan hingga kering dan terbit minyak hinggalah terbentuknya yang kita panggil Tahi Minyak tu. Dikacau sentiasa supaya tidak hangit di sebelah bawahnya dan masak sekata. Bila sudah berubah ke warna keperangan, matikan api dan tapiskan. Kita ambil tahi minyaknya saja dan ketepikan dulu.




Kemudian bancuh sekali 2 cawan tepung kacang hijau, 10 cawan santan cair, 1/2 sudu garam halus bersama air gula merah dan gula pasir yang kita masak dan tapiskan tadi. Gaul hingga sebati dan tapiskan supaya tidak ada tepung yang bergentil. Masukkan 1-2 helai daun pandan yang disiat dan disimpul dan masak dengan api perlahan. Sentiasa dikacau supaya tidak bergentil adunan itu. Masak terus sambil mengacau hingga pekat dan berkilat. Akhir sekali, tuangkan ke dalam bekas yang bersesuaian dan taburkan tahi minyak ke atasnya. Jika suka boleh juga dititis titiskan sedikit minyak yang ditapis tadi ke atas kuih untuk melembabkan dan mencantikkan lagi rupanya agar nampak berkilat. Sejukkan dulu betul betul sebelum dipotong. Selamat Mencuba.. (",)





Saturday, 23 February 2013

SUP AYAM KAMPUNG KOWWW..



ASSALAMUALAIKUM & SALAM SEJAHTERA.. :)

Haiiiiii... Watper tu? Arini saya rasa cam dah boring nak dine out. Rindu pulak kat my dapoq sweet dapoq tu. So just something yang simple untuk dinner kami berdua saya buatkan Sup kow koww punyer makan ngan roti. Sedap jugak sesekali makan camni. Pecah peluh jugak dibuatnya, nak pulak dengan tekak yang tengah tak berapa sedap ni. 

Cara saya buat sup ni mudah jer dan tak semestinya guna ayam kampung, ayam bandar pun boleh. Kebetulan stock ayam kampung masih ada sikit dalam peti sejuk tu, saya buat jerlah. Roti tu pulak kita bakarlah sikit baru sedap. Dalam picture kat sini, roti tu belum dibakar sebab kalau saya bakar awal awal nanti bila tiba masa dinner dia dah keras atau liat. Sebaiknya dibakar ketika hendak dimakan. Kalau nak tau resepi dan cara sempoi saya memasak sup, Jom checkidauddd.. ;)




BAHAN BAHAN :

1 ekor Ayam Kampung ~~ dipotong kecil
2 sudu besar Rempah Soto Tok Mak atau Rempah Sup
2 inci Halia *
1 biji Bawang Besar *
3 ulas Bawang Putih *
3-5 ulas Bawang Merah *
1 sudu besar Lada Putih *
1 batang Carrot size sederhana
2 biji Ubi Kentang
1-2 biji Buah Tomato
2-3 helai Daun Bay
Sedikit Cauliflower
Sedikit Daun Sup & Daun Bawang
Sedikit Serbuk Kunyit
Sedikit Minyak utk Menumis
Sedikit Kayu Manis, Bunga Lawang & Buah Pelaga
Secubit Gula ~~ Jika Suka
Garam Secukup Rasa
Air Secukupnya




CARA CARANYA :

Bersihkan ayam yang telah dipotong kecil dengan tepung gandum. Saya rendam sekejap juga dengan air kunyit untuk menghilangkan bau ayam tu. Kemudian toskan sebentar.

Tumbuk semua bahan bertanda (*) hingga lumat. Panaskan sedikit minyak dan tumiskan kayu manis, bunga lawang dan buah pelaga. Selepas itu masukkan bahan yang ditumbuk tadi dan goreng hingga keperangan. Masukkan pula Rempah Soto Tok Mak atau Rempah Sup dengan sedikit air dulu dan goreng sebentar hingga naik bau. Masukkan juga sedikit serbuk kunyit dan sedikit garam dulu. Selepas itu, masukkan ayam dan biarkan masak sebentar bersama rempah.




Kemudian masukkan air secukupnya, daun bay, daun sup, sebahagian dari carrot yang telah dipotong dan buah tomato yang dibelah 4. Buah tomato tu dibuang kulit dan bijinya. Kita masukkan carrot dan tomato awal semasa mereneh ayam ni adalah untuk mendapatkan rasa manis dari carrot dan rasa masam dari buah tomato supaya mesra dalam kuah sup tu nanti. Teruskan mereneh hingga ayam masak. Saya guna ayam kampung ni agak lama sikit kena masak hingga lembut. Tambahkan air jika perlu.

Bila ayam dah masak dan lembut, bolehlah masukkan ubi kentang yang dibelah 4 atau berapa jer yang suka dan sebahagian lagi carrot yang telah dipotong. Bila ubi kentang dah empuk perisakan dengan garam secukupnya. Jika suka boleh juga masukkan secubit gula. Akhir sekali, masukkan cauliflower dan taburkan dengan hirisan daun sup dan daun bawang serta bawang goreng. Hidangkan ketika panas. Bagi hubby saya, mestilah kena ada sambal kicap bagi hidangan sup ni. Barulah ada kick.. Selamat Mencuba.. :)



Monday, 18 February 2013

MLCP AYAM KAMPUNG NISMILAN



Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera. Saya tak berapa sihatlah arini tapi dah tak larat nak dok terbaring jer. Asal makan ubat jer laloq, buhsan sungguh. Makanya saya hadaplaa lappy buruq ni cuba cuba hapdet sikit pulak.

MLCP atau Masak Lemak Cili Padi Ayam Kampung ni saya masak masa Farrah balik cuti aritu atas permintaan dia jugaklah. Beria ia dia makan, memang betul betul teringin nak makan lah tu gamaknya. Haishhh.. mata ni dah pejam celik, pejam celik laa pulak, gara gara ubat batuklaa ni. Saya go straight to the point jerlah, ke recipenya.




BAHAN BAHAN :

1 ekor Ayam Kampung
Segenggam Cilipadi ~~ boleh adjust
2 inci Kunyit hidup
Serai dalam 5 batang ~~ dititik
3-4 biji Kentang ~~ dibelah 4
1-2 helai Daun Kunyit ~~ disiat siat
400 ml Santan kotak ~~ Ayam brand
500 ml Air atau secukupnya
1 keping Asam Keping
Garam secukup rasa




Mula mula kisar atau kalau rajin nak tumbuk lagi sedap, cilipadi dan kunyit hidup tu dan titik serai tu. Sediakan periuk, masukkan ayam yang telah dipotong dan dibersihkan, cilipadi dan kunyit yang telah dikisar tadi, serai, halia, air, dan sedikit santan dulu supaya tak terbersin bersin kita dgn bau ciliapi tu nanti. Jerang atas dapur dan masak hingga ayam tu empuk dan lembut. Kalau tak empuk lagi, bolehlah ditambah lagi Air dan sambung merebus lagi. Bila ayam dah lembut, masukkan ubi kentang dan masak hingga agak empuk.

Selepas itu baru kita masukkan kesemua santan, asam keping, garam secukup rasa dan biarkan mendidih seketika. Siat siatkan daun kunyit tadi dan masuk ke dalam gulai tu. Jangan masak lama sangat bila dah masuk santan nanti dia terbit minyak tak cantek gulai kita nanti. Api pon jangan kecil dan jangan besar sangat juga.. Yang sedang sedang ajer~~ Kalau kecil sangat nanti dia cam terbit minyak, tak jadi camtu.. Kalau besar sangat pulak, takut pecah minyak. Cam banyak lak songelnya kann.. hehee.. tapi taklah.. Jangan risau, senang jer.. Lagi satu, kalau MLCP original Nismilan atau Negeri Sembilan ni memang tiada penggunaan bawang langsung tapi sangat sedap. Kalau tak percaya, Cubalah.. :)



Friday, 15 February 2013

KEK LUMUT DAYANG JACK



ASSALAMUALAIKUM & SALAM SEJAHTERA.. :)

Semalam duduk duduk tetiba mood mengekek datang. Hmm.. Bila semangat tu sudah mari takleh tunggu lama lama, lambat sikit kang dia kelaut balik. hehehh.. Hampir tengah malam jugalah saya mulakan operasi KEK LUMUT ni. Jam 11.20 malam masuk kukus, pukul 3.20 pagi pulak baru sudah mengukus. Haa.. Sesekali angin giler ku datang kann..

Apa pun memang sangat berbaloi saya menunggu cake ni masak selama 4 jam, sedap betul rasanya. Terima kasih banyak banyak DAYANG JACK @ DAPURKU SAYANG kerana berkongsi resepi yang KEK LUMUT yang sangat sedap ni. Memula tu cuaq jugak bila nengok warnanya yang hijau tu tapi bila saya study bahan bahan dari resepinya, boleh agak mesti sedap rasanya especially bila ada horlick, nestum dan serbuk badam itu. To be frank, lama jugak dah saya menanam semangat untuk mencuba Kek ni tapi tahlah nape asyik postpone jer. Bahan bahannya pun kalau tak silap ada dua bulan dah terperap kat dapo tu. Siap hangkut masa pindah tu lagi, seb baik tak rosak. Saya mohon untuk share resepinya di sini yer Dayang untuk rujukan saya di masa akan datang dan juga teman teman lain yang ingin mencuba.




BAHAN BAHAN :

10 biji Telur Gred A
450gm Butter Berkualiti Tinggi (Golden Churn or SCS)
3/4 cawan Gula Kastor 
2 cawan Nestum (dikisar halus)
1 cawan Serbuk Almond
1 cawan Serbuk Horlicks
1 cawan Tepung Hongkong (diayak)
2 sudu kecil Vanilla Extract/Essence
60 ml Pes Pandan
1 cawan Susu Pekat Manis




CARA CARA :

1.  Sediakan pengukus dan didihkan air. Griskan loyang bersaiz 8" x 8" dengan mentega. Saya guna loyang bercorak Wilton.

2.  Pukul mentega bersama gula halus dan esen vanilla hingga kembang dan berkrim. Gunakan kelajuan maksima. 
 
3.  Masukkan telur sebiji dan pukul hingga sebati (guna speed perlahan). Kemudian, masukkan lagi sebiji telur dan pukul lagi. Ulangi proses ini sehingga habis. 

4.  Masukkan susu pekat dan pes pandan. Putar sebati.
 
5.  Masukkan tepung sedikit demi sedikit diselangselikan dengan horlicks, serbuk almond dan nestum . Kacau sebati. Saya satukan terlebih dahulu semua bahan ini dan gaul rata.

6.  Tuangkan adunan ke dalam loyang dan tutupkan dengan kertas foil yang sudah disapukan sedikit butter supaya permukaan kek tak melekat pada kertas foil. 

7.  Kukuskan selama 4 jam. Tambah air panas mendidih jika hampir kering. Setelah masak, sejukkan terlebih dahulu sebelum dipotong. 





~~ SELAMAT MENCUBA ~~



Wednesday, 13 February 2013

BLUEBERRY SHORTBREAD BARS



Assalamualaikum dan Salam Sejahtera. Mendung jer cuaca kat sini, ujan renyai sedari pagi. Syiok betul laa sambil duduk duduk layan suara burung burung berkicauan. Indah sungguh ciptaan Allah SWT.. Subhanallah..

Last few days, masa boring sengsorang saya teringin pulak nak membaking. Saya pun skodenglah kat Pakchik Google nengok apa yang mudah tuk dibuat. Penyudahnya terbekenan ngan BLUEBERRY SHORTBREAD BARS ni sebab nampak mudah sangat nak membuatnya dan saya tau rasanya sedap. Sebelum ni penah makan di hotel hotel. Recipe ni asalnya dalam bahasa inggeris tapi saya cubalah transalate ke bahasa malaysia semampu saya. 




BAHAN BAHAN (Anggaran 12 bar) :

1 1/2 cawan Tepung Gandum ~~ diayak
1/2 cawan Gula Kastor
1/4 sudu teh Baking Powder
1/2 sudu teh Garam Halus
Secubit Serbuk Kayu Manis/Cinnamon
Secubit Serbuk Buah Pala/Nutmeg
1/2 cawan Unsalted Butter ~~ yang sejuk
1 biji Kuning Telur
1/2 sudu kecil air sejuk dari fridge
1 cawan Buah Blueberries atau secukupnya




CARA CARA :

Panaskan oven pada suhu 170C selama 10-20 minit.
Satukan semua bahan kering dan gaul rata.
Masukkan Unsalted Butter yang sejuk dan telah dipotong kiub.
Gaul rata dengan menggunakan hujung jari atau mixer tangan.
Kemudian masukkan kuning telur dan gaul rata, juga dengan hujung jari jer.
Renjis renjis kan air sejuk tadi ke atas adunan dan gaul rata.
Adunan haruslah berderai seperti serbuk roti tapi boleh dimampatkan.
Bahagikan adunan dengan nisbah 70:30.
Mampatkan bahagian 70% di dalam bekas pembakar.
Taburkan di atasnya Buah Blueberries secukupnya menutupi permukaan.
Tutupkan permukaan dengan menabur baki adunan yang 30% ke atas buah.
Bakar selama lebih kurang 30-40 minit.
Sejukkan dulu sebelum dipotong.




Mudah jer kann.. Saya dah beberapa kali buat ni, hubby suka sangat. Memang layan betul lah kena ngan Earl Grey Tea peberet saya tu.. Kalau tak percaya, cubalah.. Daaa.. :)



Monday, 11 February 2013

SAMBAL BELACAN vs KARI IKAN SEMBILANG



ASSALAMUALAIKUM DAN SALAM SEJAHTERA.. :)

Pasti semua sedang bercuti panjang kann.. Maklumlah Cuti Tahun Baru Cina. Saya dan keluarga takder plan nak kemana mana, cuma nak berehat jer bersama keluarga. Bukan senang nak dapat peluang untuk berkumpul bersama camni. Ini jugalah masanya untuk saya memasak dan duduk makan bersama sekeluarga. Bak kata omputih Quality Time with Family.. hehehh..

Pada N3 kalini sebenarnya saya nak masukkan cara untuk buat Sambal Belacan atas permintaan seorang anak muda. Maafkan aunty yer, baru ni dapat nak masukkan. Lama dia tunggu dah.. Bukan apa, masa tu aunty tengah sibuk dengan urusan pindah rumah tapi aunty tetap ingat. Setelah segalanya selesai barulah dapat melaksanakannya. Kebetulan menu Kari Ikan Sembilang ni memang wajib ada Sambal Belacan. Kalau tak, tak kick lah kann.. hehee.. Okay jom nengok caner aunty buat.. ;)




BAHAN BAHAN :

5 Tangkai Cili Merah
5 Tangkai Cili Api
20 gm Belacan
2-3 biji Limau Kasturi
1/2 sudu kecil Gula
Secubit Garam

Mula mula bakar belacan tu dulu sedikit hingga nampak kering kelilingnya. Kalau nak goreng pun boleh juga, mana yang rasa senanglah. Patah patahkan cili merah dan tumbuk bersama cili api dan belacan. Kalau nak pedas lagi bolehlah tambah lagi cilipadi tu yer tapi dalam bilangan ganjil. Petua orang tua tua ni.. Aunty follow jer.. Bila cili hampir lumat masukkan garam dan gula dan tumbuk bagi rata. Terpulanglah nak lumat takat mana, kalau aunty dan family tak suka lumat sangat. Suka bila makan tu ada rasa tergigit gigit sikit tu dan itulah juga kelebihan menggunakan lesung batu. Akhir sekali perahkan jus limau kasturi dan gaul rata. Selamat Mencuba yer sayangg.. :)




Ikan Sembilang ni yang laut punya yer, bukan yang sawah tu. Kalau yang sawah tu saya panggil Ikan Keli. Bezanya boleh dilihat pada ekornya. Ekor Sembilang laut agak tajam pada hujungnya manakala ekor Sembilang sawah atau Keli agak bulat pada hujungnya tu. Sekiranya ada yang ingin mencuba memasak KARI IKAN SEMBILANG ni juga boleh rujuk SINI. Saya dah kongsikan recipe dan petua untuk menghasilkan Kari Ikan yang sedap kat dalam N3 tu. Alhamdulillah dah ramai juga yang mencuba dan memberi feedback yang positif. Checkidauddd!!.. ;)





Friday, 8 February 2013

RENDANG KACANG NISMILAN


ASSALAMUALAIKUM & SALAM SEJAHTERA.. :)

Agak lama jugak saya tak menghapdet blog ni. Tu tandanya dapo tak berasaplah.. hehehh..  Bila nakdara tu takder saya jarang masak. Nak makan pun takat dua mulut, macam tak berbaloi rasanya. Tah macam mana dok belek belek SD card terjumpa pulak gambar Rendang Kacang. Teragak pulak nak masukkan kat sini.




Rendang Kacang Nismilan ni maksudnya asal dari Negeri Sembilan. Memang cukup popular terutamanya jika ada majlis kenduri kendara. Ayam dijadikan masakan lain, manakala isi perut ayam dibuat masak Rendang Kacang ni. Sedap sungguh ni kalau makan ngan nasi pepanas, takyah lauk lain pun takpe. Duhh.. Saya pulak yang terliur ni, jomlah nengok resepinya tapi ni cara sayalah mengikut keselesaan tekak dan perut saya yer..


BAHAN BAHAN :

300 gm Kacang Panjang
500 gm Isi Perot Ayam (Telo, Hati & Pedal)
500 gm Santan Pekat
Segenggam Cili Padi (atau ikut kepedasan memasing) *
2 inci Kunyit Hidup *
5 ulas Bawang Merah *
1 ulas Bawang Putih *
3 batang Serai ~~ dititik
1 keping Asam Keping
Sedikit Minyak untuk Menumis
Garam Secukup Rasa




CARA CARANYA :

Patah patahkan kacang panjang tu lebih kurang 2 inci. Jangan guna pisau, nanti manis kacang tu hilang. Pesan Mak saya ni, saya pun follow jerlah. Bersihkan isi perot ayam tu, tos dan ketepikan. Tumbuk atau blend semua bahan bertanda (*). 

Panaskan sedikit minyak untuk menumis dan tumis dulu bahan yang ditumbuk tadi dengan serai yang dititik hingga garing dan hilang bau cili. Masukkan juga sedikit garam untuk matikan cili tu. Ada orang buat dia tak tumis, saya tumis sebab nak masak dulu cili tu supaya tak pedas sangat. Kalau pedas sangat tak syiok nak meratah ratah sebab saya memang suka ratah sayur ni. Lagipun perut saya sekarang ni tak tahan sangat. Okay, bila dah garing cili tu masukkan isi perut ayam tadi dan goreng sebentar agak separuh masak gitu. Selepas tu masukkan santan pekat dan asam keping. Bila dah hampir kering dan terbit minyak, baru masukkan sayur kacang panjang. Perisakan dengan sedikit gula dan garam secukup rasa. Kacau rata dan masak hingga sayur agak lembut dan layu. Setelah siap bolehlah dihidangkan. Selamat Mencuba.. :)