Sunday, 5 August 2012

NASI ARAB Lagi..




Assalamualaikum dan Selamat berhujung minggu semua. Alhamdulillah dengan berkat dan izin Allah SWT kini kita sudah berada di pertengahan Ramadhan. Ramai juga kengkawan yang saya nampak sudah mula membuat persiapan untuk kedatangan Syawal yang semakin hampir. Saya ni apa pun belum buat, baju raya anak pun belum beli. Tak taulah kenapa, untuk yang ke sekelian kalinya raya tahun ini saya tak kesah langsung nak menempah baju raya macam tahun tahun yang sudah. Bukan apa, baju raya tahun lepas pun tak habis pakai lagi. Baju Farrah pun saya nak cari yang readymade jerlah takat sepasang dua. Jadilah.. Kalau tak nanti baju tu pun dipakainya sekali jer, pastu dok laa tergantung jer baju baju tu. Memang takder maknanya laa dia nak pakai baju kurung selalu.




Atas permintaan anak saya Farrah juga, semalam saya buat NASI ARAB lagi. Tak jemu jemu dia dengan Nasi Arab ni, pelek betul saya nengok. Dulu saya pun dah pernah buat versi daging ni, boleh nengok kat SINI. Cuma pada kalini saya ada olah sikit, saja nak mencuba cuba untuk mendapatkan hasil yang terbaik. Alhamdullillah sedap jugak dan saya rasa amat berpuas hati atas percubaan kali ini. Kalau ada kengkawan yang berminat nak mencuba, jomlah nengok resepi dari saya yang tak berapa nak Arab ni.. hehehh..




BAHAN BAHAN :
6 pot(rice cooker) Basmathi
1 kg Daging
3 biji Bawang Besar
2 inci Halia
3 biji Buah Tomato yg masak
Minyak Sapi + Minyak Zaitun ~~ utk menumis
Sedikit Bunga Lawang, Kulit Kayu Manis
Buah Pelaga dan Cengkih
2 sudu besar Rempah Sup 
Garam secukup rasa (lebeh kurang 3 sudu kecil)
2-3 helai daun pandan
Sedikit Lada hitam biji (jika suka) 
Sedikit Saffron
Sedikit Pewarna Kuning
Sedikit Daun Pudina




Rebus daging yang dipotong sebesar 3 jari dengan air yang banyak. Masukkan bawang besar, buah tomato dan halia yang telah diblend, serta rempah sup dan sedikit kulit kayu manis, bunga lawang, cengkih dan buah pelaga. Masak hingga empuk.

Kemudian sediakan periuk untuk memasak nasi. Panaskan minyak sapi dan minyak zaitun. Tumiskan kulit kayu manis, bunga lawang, cengkih dan buah pelaga. Kemudian masukkan pula daging yg telah direbus tadi bersama daun pandan yang telah disiat dan disimpul. Goreng sebentar daging tu bagi agak garing sedikit. Perisakan dengan sedikit garam dan saffron, kacau rata dan bolehlah diangkat keluar. Kalau suka boleh juga bubuh sedikit lada hitam biji. Selepas itu, masukkan pula sedikit saffron (jika ada) dan air rebusan daging tadi dalam 8 pot rice cooker. Tapi ini bergantung pada jenis beras jugaklaa.. Beras tu kena rendam dulu selama 10 min, kemudian basuh dan toskan sebelum dimasak. Bubuh garam dan transfer ke rice cooker, biarkan sampai masak. Sesekali kacau perlahan supaya masak sekata. Jangan kacau kerap sangat bila dah kering, nanti dia hancur, tak cantik nasi kita. Bila dah masak betul, titik titikkan sedikit pewarna kuning ke atas nasi tadi untuk mencantekkan warna nasi tu. Jangan dikacau dulu, tutup balik periuk tu. Masukkan sedikit daun pudina untuk menaikkan aromanya. Hidangkan bersama daging tadi.




Untuk SOS dia, blend lebih kurang 3 biji buah tomato (buang bijinya) dgn sedikit cili padi/cili merah, daun pudina, daun ketumbar dan garam mengikut citarasa. Perahkan sedikit lemon (ikut selera laa, nak masam takat mana). Tambahkan juga sedikit minyak Zaitun dalam bahan yang diblend tu.

Untuk Salad pula, potong dadu timun (saya suka timun jepun), traffic light capsicum dan tomato (buang bijinya). Kalau suka boleh juga bubuh bawang besar yang dihiris bulat. Kemudian gaulkan bersama sedikit garam, minyak zaitun, daun pudina dan daun ketumbar yang dicincang halus hingga rata. 

Kalau suka, boleh juga buat yogurt.. Saya guna Natural Yoghurt yang digaul rata dengan sedikit daun pudina dan daun ketumbar yg dicincang halus. Perisakan dengan sedikit garam. Siap!!.. Senang kann.. Jika ada yang tak suka atau tak boleh makan daging, boleh juga mencuba versi Ayam seperti yang pernah saya buat suatu ketika dulu. Boleh juga rujuk ker N3 NASI MANDY AYAM ini jika berminat.




Saya juga menyediakan kuih Coqbadak semalam. Insyaallah pada next N3 saya kongsikan pula resepi Coqbadak saya tu yer. Selamat Berpuasa.. :)


Saturday, 4 August 2012

POPIA Goreng dan Syahduku..




Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera. Berapa hari puasa dah arini eak? Dah tak terkira dah saya, sibuk sangat dengan macam macam hal. Perasaan ni pun sangat bercampur baur. Mana tidaknya tetiba dapat panggilan dari Mak.. "La (nama yang Mak selalu panggilku), mata Mak ni yang belah kanan ni dah tak berapa nampak laa bila Mak bangun tidur pagi ni.. Makin lama makin kelabu, nampak cam bebayang jer".. Saya sangat sangat terkejut dan bergegas bawa Mak ke Hospital. Dalam hati ini hanya Allah taala saja yang tahu betapa risaunya. Kalau airmata ni jenuh dok menahan supaya Mak tak dengar suaraku yang sebak.. Taknak sampai Mak tau yang saya sedih, takut kalau Mak pun menangis sama dan memudaratkan lagi kondisi matanya tu. Menurut doktor, saraf mata Mak mengalami pendarahan yang teruk akibat penyakit Diabetes yang telah lama dihidapinya selama lebih 30 tahun. Buat masa ni Mak dinasihatkan supaya banyak berehat supaya pendarahan tu cepat reda. Insyaallah hari Isnin nanti akan dapat berjumpa dengan Pakar Mata dan mungkin akan melakukan rawatan pada mata sebelah kirinya dulu supaya tidak melarat seperti mata kanannya. Abah juga sudah semakin uzur nampaknya, tangannya pun dah terketar ketar tika menyuap makanan ketika berbuka. Tak lagi sekuat cam dalam gambar yang dapat saya korek di bawah ni lebih kurang 3 atau 4 tahun yang lalu. 




Lumrah duniawi, yang muda pasti tua dan semakin uzur.. Yang hidup pasti mati. Tapi hati ini tetap juga sayu memandang keadaan Mak yang kini hanya bergantung pada mata kirinya saja yang juga tak berapa jelas. Ya Allah, semoga kesembuhan berpihak padanya. Sedih, bila Mak mengadu, "Mak tak boleh mengaji lagi sekarang, Mak tak nampak.. Mak tak boleh jalan ke Surau lagi.. Jangan hantaq sms kat Mak lagi, Mak tak nampak nak baca dahh".. Mak tau tak, cheq pun masih nak Mak nampak muka cheq yang tak berapa lawa ni dan masih nak Mak tengok apa yang cheq masak tu jadi betoi ker dak.. :'(




Apa pun Ramadhan ini tetap harus dijalani seperti biasa. Beramal selagi termampu dan saya juga memasak untuk keluarga. Tapi yang termampu saya buat hanyalah yang sempoi dan cepat jer ataupun yang direquest oleh keluarga especially Mak dan abah. Untuk Iftar harini saya cuma masak Mee Hoon Goreng Singapore dan Popiah Goreng. Kalau ada yang ingin tau camner saya buat MEE HOON SINGAPORE boleh rujuk SINI. Pada N3 kali ini saya ingin berkongsi resepi POPIA GORENG yang juga adalah dari tunjukajar Mak saya dulu, cuma ada juga sikit sikit yang telah saya olah bahannya mengikut citarasa hubby saya.




BAHAN BAHAN :
Kulit Popia Secukupnya ~~ saya guna size sederhana
1 biji Sengkuang size sederhana ~~ disagat halus
1 batang Carrot size sederhana ~~ disagat halus
2-3 batang Kacang Panjang ~~ dihiris nipis
150 gram Udang ~~ size kecil
2 ulas Bawang Putih ~~ dicincang halus
3 ulas Bawang Merah ~~ dicincang halus
2 keping Tahu + 2 biji Telur
Sedikit Minyak untuk menumis
Garam secukup rasa
Sedikit gula ~~ jika suka
Sedikit Serbuk Lada Sula
Sedikit Bawang Goreng ~~ buat sendiri 




Hancurkan tahu tadi, pecah masukkan telur dan gaul rata. Masukkan juga sedikit garam dan lada sula. Panaskan kuali dengan sedikit sahaja minyak dan goreng kedua bahan ini hingga kering. Angkat dan ketepikan dulu. Sekali lagi, panaskan kuali dengan sedikit minyak lebih kurang 2-3 sudu besar jer. Tumiskan bawang merah dan bawang putih hingga keperangan dan naik bau. Masukkan pula udang dan sedikit garam. Apabila udang sudah masak, saya masukkan semua bahan sayuran dan kacau rata. Perisakan dengan garam gula secukupnya dan taburkan sedikit serbuk lada sula. tak perlu masak lama sangat nanti airnya keluar banyak. Memadailah sekadar meratakannya dan mesra. Setelah ditutup apinya, masukkan tahu dan telur yang telah digoreng tadi dan gaul rata. Angkat dan toskan dulu supaya airnya turun. Jika inti terlalu berair, nanti kulit popia kembang dan pecah bila digoreng.




Setelah inti betul betul sejuk barulah digulung di dalam kulit popia itu. Masukkan inti dan taburkan dengan sedikit bawang goreng. Saya lekatkan pada hujung gulungan popia ini dengan telur putih. Boleh juga dilekatkan dengan tepung gandum yang dibancuh dengan sedikit air.

Apabila siap semuanya digulung bolehlah digoreng. Pastikan minyak sudah betul betul panas baru menggoreng, jika tidak nanti minyak akan meresap ke celah celah kulit popia dan menyebabkan ianya pecah dan terbuka. Teruskan menggoreng dengan api yang sederhana dan dibalik balikkan selalu supaya masak sekata. Angkat dan toskan minyaknya dengan tisu dapur atau tapis. Dinasihatkan digoreng mengikut keperluan dulu sebab jika dibiar lama kulit popia akan jadi lembut.




Bagi SOSnya ada beberapa cara boleh dibuat. Pada kali ni saya pilih untuk menggunakan cara yang sempoi jer. Maklumlah banyak yang nak dikejarkan, termasuklah mengejar Sang Mentari. Saya cuma blend dalam 3 batang Cili Besar dan 5 tangkai Cilipadi dengan sedikit air, garam dan gula. Kemudian saya campurkan dengan sedikit Sos Cili dan 2 ulas bawang putih yang telah diketuk dengan kulit kulitnya sekali. Masak sebentar dengan api yang kecil di dalam periuk. Bila semuanya sudah secukup rasa bolehlah dimatikan api dan sejukkan sebentar sebelum dihidangkanSelamat Mencuba.




Wednesday, 1 August 2012

ASAM PEDAS Ikan PARANG




Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera. Alhamdulillah dapat juga saya menjalani ibadah puasa semalam walaupun ada sedikit gangguan kesihatan. Bukanlah serious sangat, cuma biasalah.. Saya ni memang pengidap Gastrik yang agak lama juga. Bila dia attack tu macam macam rasalah, cuma yang tahan sangat semalam tu sampai kebas jadi kepala saya. Nasib baiklah my princess ada, jadi bolehlah membantu dan meringankan beban saya. Sampai snap gambar gambar untuk N3 kali ni pun saya harapkan Farrah jer. Saya tak sempat nak kayuh dah tadi. Tenkiu my dear.. :)




Tekak ni tetiba teringin sangat nak makan Asam Pedas harini. Lama jugak saya tak masaknya. Bila teringat ada Ikan Parang dalam fridge tu, bolehlah di Asam Pedaskan. Sedap gak tu Ikan Parang wat masak Asam Pedas. Oleh kerana agak kurang sihat tadi, bahan untuk memasak ni tadi pun Farrah yang tolong sediakan juga. Sedap asam pedas arini, nak tau nape? Sebab, bumbu nyer tu ditumbuk halus oleh Farrah dengan lesung batu. Ibu dia ni pun selalu blend jer. Memang sedap betul rasanya dan tak perlu menumis lama sangat sebab tak guna air. Jika kita blend biasanya kena guna air. Kalau ada yang ingin mencuba boleh lihat resepinya kat SINI. Ada sedikit perbezaan pada kali ini, saya tambahkan 1/2 inci LENGKUAS yang dihiris ke dalam kuah itu. Bagi tekak saya dan keluarga memang lebih sedap Asam Pedas jika ada buh lengkuas. Cuma sebelum sebelum ni saya tak masukkan sebab tak ada stock lengkuas kat dapoq.




Bagi resepi ni saya menggunakan Rempah Homemade 'TOK MAK'. Jika ada yang ingin tahu lebih lanjut mengenai Rempah ini yang sering saya guna dalam berbagai masakan saya bolehlah ke Page Tok Mak ini. Ia juga boleh dibeli secara online. Tetapi pada kengkawan yang tidak ada Rempah ini dalam simpanan boleh juga rujuk resepi KAT SINI dimana rempahnya saya blend sekali dengan bahan lain. Pada yang gemarkan Masakan Asam Pedas ni bolehlah mencuba. Insyaallah berbaloi baloi.. Abah saya cukup suka makan Asam Pedas saya ni. Nak pula kalau dapat Ikan Terubuk, memang seronok nengok Abah makan. Seronok dapat membahagiakan kedua Mak dan Abah tatkala hayat mereka ini. I'll try my best for both of them. Insyaallah.




Masa berbuka puasa kat rumah haritu anak saya, Farrah sibuk merungut tak cukup Kuih Keria tu. Arini dia mengaruk suruh buat lagi. "Dah terasa rasa kat tekak ni ibuu".. kata dia. Hmm.. Ayat standard dia laa tu.. Nasib baiklah kuih tu tak susah sangat. Dialah yang siapkan sampai melenyek keledek tu. Saya tinggal bentukkan, goreng dan sira gula jer. Abiss licin dah tadi, beria ria betul dia makan. Suka sangat pulak. Kalau ada yang ingin mencuba, resepi KUIH KERIA tu dah ada KAT SINI juga. Jemput skodeng yer.. :)




Untuk melengkapkan hidangan harini saya goreng Sayur campur campur apa yang saya jumpa dalam fridge tadi dengan Tahu Jepun. Saya tumis bawang putih yang dicincang dan sedikit cilipadi. Kemudian masukkan sedikit sos tiram, lada sula dan garam secukup rasa.. Sempoii.. Jadilah 3 jenis hidangan yang sederhana untuk kami tiga beranak. Alhamdulillah.. dapat ikut sunnah Nabi, menyediakan hidangan dalam jumlah yang ganjil. 




Untuk minuman, saya sediakan Jus Roselle yang saya buat sendiri dengan Laici. Memang sedap dan nyaman sangat. Tapi saya pun tak tau nape bila saya masukkan laici ke dalam jus roselle yang berwarna merah itu, warnanya terus bertukar ke warna purple. Subjek Kima pun tak berapa terror masa sekolah dulu. Takperlah, janji sedap sudah laa kan. hehee.. Okaylah saya mintak diri dululah, nak nengok apa yang nak disediakan untuk sahur japgi pulak. Stori terakhir, gambar tak berapa cungg laa arini. Tak cukup cahaya, cuaca berjerubu. Apakan daya.. Hanya Allah yang Maha Berkuasa.